Isnin, 13 Julai 2009

Teknik Pembuatan Labu Sayong

Proses Pembuatan Labu Sayong

Aliran kerja membentuk sebiji labu dibuat dengan cara
berperingkat-peringkat iaitu menyediakan tanah.
Kerja-kerja membuat labu bermula dengan pemilihan tanah.
Tanah liat yang lembut diambil daripada tebing-tebing sungai,
perdu pokok atau busut. Tanah ini kemudiannya dijemur
sehingga kering, membentuk, menghias dan akhirnya membakar.



Menyediakan Tanah

Tanah-tanah itu kemudiannya ditumbuk menggunakan
lesung kaki. Selepas itu diayak dan ditapis untuk memisahkan
sampah-sarap dan ketul-ketul batu yang ada.
Setelah nyata bersih, tanah itu diuli supaya ia menjadi padat.
Proses ini memerlukan ketelitian bagi memastikan tanah itu
menjadi padat dan bebas daripada gelembung udara.
Tanah itu kemudiannya dibentuk menjadi silinder untuk
memudahkan proses berikutnya.



Membentuk

Membentuk adalah tersangat penting dalam menghasilkan
labu hitam kerana teknik inilah yang menentukan keindahan
dan kekuatan labu.
Ibu jari telunjuk turut berperanan penting dalam pembentukan
permukaan labu yang masih separuh kering. Tanah berbentuk
silinder akan dilingkar menjadi satu bulatan dan diletakkan
di atas pinggan.
Lingkaran tanah dipicit sambil memusing pinggan. Proses pemicitan
ini dilakukan untuk menaikkan tanah agar terbentuk badan, leher,
kepala dan muncung labu. Sudip buluh digunakan untuk melurut
permukaan labu supaya kelihatan sama dan licin. Penepek pula
digunakan untuk memampatkan badan labu.
Setelah badan labu terbentuk, tanah liat yang telah dileperkan dicantum
bagi menutup bahagian yang terbuka. Tanah liat leper akan menjadi
bahagian tapak labu.



Menghias

Apabila labu siap, ia dilicinkan dengan sudip buluh dan digilap
menggunakan batu luru. Labu dibiarkan kering sebelum dihiasi
dengan motif. Motif-motif dihasilkan dengan menekankan kayu
materai ke permukaan labu. Labu ini sekali lagi dibiarkan kering
untuk dibakar.



Membakar

Proses pembakaran terbahagi kepada tiga peringkat iaitu menyalai, membakar dan menyepuh. Labu-labu yang cukup kering disalai menggunakan bahang api, sabut kelapa kering dan sedikit kayu kering yang dibakar.
Labu diletakkan di atas para secara terbalik dan ditutup dengan daun pisang, daun kelapa atau tikar selepas disalai. Kayu api disusun pada bahagian bawah para lalu dinyalakan untuk proses pembakaran. Bahang api ini akan memanaskan labu yang telah dimasukkan ke dalam unggun api.
Labu yang telah dibakar dimasukkan ke dalam sekam padi untuk mendapatkan warna hitam pada permukaan labu. Kemudian bahagian bawah atau tapak labu disapu dengan damar untuk menghalang air daripada meresap keluar. Labu dibiarkan seketika dan dibersihkan sebelum digunakan.
























0 ulasan:

Catat Ulasan